Love Rasulullah.

Friday, January 29, 2010

Mahasiswa tidak dapat terima kekalahan tidak matang, kata Khaled

KUALA LUMPUR, 29 Jan — Tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor hari ini selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) disifatkan sebagai tidak matang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majority kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.

“Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, Naib Canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya. — Bernama

 

Tujuanku Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger