Love Rasulullah.

Tuesday, February 16, 2010

Respon Isu UM :Pelajar buat silap patut ditegur, bukan hebah di media- Haafizudin.

SAYA tertarik dengan luahan Kamal Ahmad dalam ruangan ini 13 Februari lalu bertajuk 'Kesal pelajar UM leka berkaraoke sehingga tak hormat aktiviti keagamaan'.

Ia nyata ditulis tanpa soal siasat dan saya anggap ia berlandaskan emosi. Berdasarkan surat ini, sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) yang berkursus di tempat sama dengan mereka yang berkaraoke tanpa menghiraukan orang beribadah di dewan sebelah.

Saya yakin pelajar yang dimaksudkan itu tidak mencecah 100 orang pun tetapi surat yang ditulis saudara Kamal menyatakan seperti semua pelajar UM melakukan perkara sama.

Untuk pengetahuan saudara, UM melahirkan lebih 15,000 graduan setiap sesi dan jika dibandingkan dengan jumlah pelajar yang saudara maksudkan, peratusannya menghampiri 0.006 peratus.

Persoalan saudara adakah ini cara UM mendidik pelajarnya amat tidak rasional kerana UM adalah pentas dan gedung ilmu dengan pelajarnya diterap dengan nilai murni bagi melahirkan modal insan serta bakal pemimpin negara yang berkaliber.

Jika diambil setandan pisang, tidak semua sama kualitinya walaupun ia dihasilkan pokok yang sama. Itu adalah adat hidup bermasyarakat, pelajar UM mungkin lebih banyak terdedah dengan hiburan tetapi ia pilihan pelajar sendiri, bukan hasil ajaran UM.

Tujuan saya menulis surat ini bukan untuk membela kumpulan itu atau memburukkan saudara tetapi mahu membersihkan nama UM yang saudara palitkan arang secara 'tidak sengaja'.

Jika benar saudara dan rakan menganjurkan program keagamaan mendapati kumpulan itu mengganggu, saudara wajar menegurnya.

Saya yakin mereka sebagai mahasiswa berfikiran terbuka mampu memberi kerjasama dan menukar program mengikut keperluan jika mendapat teguran saudara. Kami berharap masyarakat di luar berhenti menyerang sesebuah institusi tanpa soal siasat, sebaliknya rujuk kepada individu yang bertanggungjawab.

Semoga Allah memberi rahmat atas keprihatinan saudara dan membuka hati pelajar berkenaan untuk mengutamakan tanggungjawab mereka selepas ini.

Surat Berita Harian Bertarikh 16/Feb/10

MUHAMMAD HAFIZZUDDIN BAHARIN,
Jawatankuasa Induk Kolej
Kediaman Pertama,
UM.

 

Tujuanku Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger