Love Rasulullah.

Saturday, July 17, 2010

Subsidi tanggungjawab negara-SMM

Kenaikan harga bahan bakar dan gula telah diumumkan oleh pihak kerajaan dalam sidang parlimen yang berakhir kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan sebab dan tujuan kenaikannya, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengakui, penarikan subsidi ini sememangnya akan menjimatkan perbelanjaan negara. Seperti yang dipetik daripada ucapan perdana menteri, negara akan menjimatkan kira-kira RM750 juta untuk tahun ini.


Namun, yang menjadi kekesalan, penjimatan ini juga bakal membebankan rakyat, khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah sebagai majoriti rakyat Malaysia.

Isu berkenaan subsidi ini telah lama diperbincangkan. Sebahagian daripada rakyat tidak bersetuju dan sebahagian daripadanya bersetuju.

Bagi SMM, subsidi ini adalah tanggungjawab negara. Negara harus seberapa banyak juga menyediakan belanja untuk menampung keperluan rakyat ini.

Sekalipun subsidi ini dirasakan perlu untuk membantu perjalanan ekonomi negara, maka ia tidak seharusnya dipotong daripada bahan seperti minyak dan gula.

Ini kerana, penarikan subsidi menyebabkan kesan yang buruk kepada rakyat. 'Kesan domino' akan berlanjutan dan menyusahkan masyarakat, khususnya rakyat yang tidak berkemampuan.

Nasihat lucu

Minyak akan meningkatkan kos dan menyebabkan kenaikan harga kebanyakan barang keperluan. Begitu juga gula sebagai keperluan asas masyarakat.

Hal ini telah terbukti apabila Syarikat F&N Dairies (M) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga produknya kemungkinan akan 'turut naik' atau tidak stabil disebabkan keputusan kerajaan itu.

Bagi SMM, hal ini bukan lagi kemungkinan, tetapi pasti berlaku. Kesan kenaikan ini akan dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.

Dalam konteks kesungguhan kerajaan pimpinan perdana menteri untuk menjimatkan perbelanjaan negara, SMM mencadangkan agar keistimewaan-keistimewaan yang diperoleh menteri dan anggota kabinet - sendiri seperti pemberian AP, pengecualian tol dan minyak kenderaan rasmi - ditarik balik sebagai usaha bersama dengan rakyat 'menjimatkan perbelanjaan'.

SMM juga melahirkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap reaksi lucu kerajaan dengan usaha untuk 'menasihati' pengarang media arus perdana beberapa jam sebelum pengumuman kenaikan harga barang, untuk sekadar menggunakan terma 'pelarasan harga' dan 'rasionalisasi subsidi' serta dilarang menggunakan terma 'barang naik'.

Hal ini merupakan cubaan halus untuk merendah-rendahkan nilai intelek serta kesedaran warga Malaysia dan menutup kefahaman sebenar berkenaan hakikat yang dialami oleh seluruh masyarakat.

SMM sebagi warganegara yang sedar dengan keputusan yang tidak sihat ini, akan bersama-sama dengan seluruh lapisan masyarakat membantah kenaikan harga barang.

Dan kami juga menyeru kepada mahasiswa dan seluruh anak muda bersama-sama bangkit di kala sebilangan kelompok elit penguasa tidak langsung merasai kesan daripada kenaikan harga ini.

Sumber : Malaysiakini
 

Tujuanku Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger