Love Rasulullah.

Friday, February 5, 2010

Desakan " DEMOKRASI " di teruskan lagi.

Sekumpulan 50 mahasiswa dihalang daripada memasuki Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM) bagi mendesak timbalan naib canseor bahagian Hal Ehwal Pelajar UM, Dr Azarae Idris meletakkan jawatan, susulan daripada keputusan pilihan raya kampus minggu lalu.

Diketuai pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (Bantah), Mohd Aizat Mohd Salleh, kumpulan tersebut sebelumnya, berarak daripada Akademi Pengajian Islam (API).

Pihak keselamatan univesiti membuat dua sekatan bagi menghalang kumpulan tersebut daripada terus mara, namun kesemua mereka berjaya meloloskan diri.

Sekatan pertama oleh anggota keselamatan universiti diadakan berhampiran Kolej Kediaman Kelima, manakala satu lagi berdekatan Kolej Kediaman Kedua.

Kompleks Perdana Siswa itu dikawal beberapa anggota polis ketika pelajar berkenaan berunding dengan seorang pegawai di situ untuk menyerahkan sebuah patung sebagai tanda 'mahasiswa ditindas.'

Pada kira-kira jam 4.15 petang, empat wakil pelajar, termasuk Mohd Aizat, dibenarkan masuk menyerahkan patung tersebut.

Tiga lagi ialah Pengerusi Pro-M UM, Mohd Shafie Hashim, Mohd Ridhuan Othman (Bantah) dan Zulfitri Amin (wakil aktivis pro-M).

Beberapa minit kemudian, mereka keluar selepas meletakkan patung tersebut di pintu pejabat Dr Azrae. Difahamkan beliau tidak berada di pejabat hari ini.

Sebelum itu, pada jam kira-kira 2.20 petang, kira-kira 25 mahasiswa berkumpul di akademi tersebut untuk berarak ke Kompleks Perdana Siswa (KPS).

Setibanya di KPS, jumlah mahasiswa meningkatkan kepada kira-kira 50 orang.

Selain menuntut Dr Azarae meletak jawatan, mereka juga mahukan pilihanraya kampus dijalankan dengan "bersih dan adil".

Dalam keadaan langit yang mendung itu, mereka membawa dua kain rentang dan poster yang bertulis "Jangan Ugut Mahasiswa, Bubarkan HEP Segera!!!", "Mahasiswa Tuntut Bersihkan Pilihan Raya", "TNC letak jawatan" dan "Demokrasi Kampus Mati".


Sepanjang jalan menuju ke KPS, mereka tidak putus-putus melaungkan antaranya "Hidup Mahasiswa", "Bebaskan Pilihan raya", "Bangkit Mahasiswa: dan " TNC HEP letak jawatan" selama kira-kira 40 minit.

Manakala di Masjid Al-Rahman pula, mereka mengedarkan risalah kepada orang ramai selepas solat Jumaat.

Setibanya mereka KPS, hujan pun turun dengan lebatnya, beserta kilat sambung menyabung. Mereka sempat berkumpul di Gazebo (pentas terbuka) untuk mendengar ucapan beberapa pemimpin pelajar.

Mohd Aizat dalam ucapannya mendakwa mahasiswa universiti itu "ditipu dengan sistem pengundian berkompter (e-undi) yang penuh dengan masalah".

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya tersebut sedangkan siasatan HEP didakwa masih belum selesai.

Mereka juga tidak mengiktiraf majlis perwakilan mahasiswa yang akan dibentuk minggu hadapan kerana mendakwa ia hasil pengundian tidak telus.

Beliau menyifatkan majlis tersebut sebagai haran dan "lahir daripada sistem yang tidak telus, bobrok dan menipu mahasiswa."

Mohd Aizat juga mendesak Dr Azrae meletakkan jawatan kerana didakwanya "tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik".

Sementara itu, Mohd Shafie pula berkata, demokrasi di kampus utama itu sudah mati "kerana pihak pentadbiran tidak mahu mendengar suara mahasiwa".

"Saya kecewa dan kesal. Bila kita mengadakan rundingan dan mereka berjanji untuk mengotainya, tapi bila tiba pilihan raya, suara kita langsung tidak didengari.

"Saya menuntut agar demokrasi kampus ditegakkan kembali," katanya disambut laungan "Tolak TNC HEP" dan "Sila Undur TNC HEP".

Dalam pilihan raya kampus minggu lalu, Pro-Aspirasi menguasai semula UM apabila memperolehi 21 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala Pro-M pula memperolehi 17 kerusi dan bebas memenangi tiga kerusi

 

Tujuanku Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger