Love Rasulullah.

Wednesday, January 13, 2010

MiSi-10, Pro-Mahasiswa Kemukakan tuntutan.


Kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 universiti awam melancarkan MiSi-10 — sasaran menawan kampus dalam pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berlangsung bulan ini sambil menggesa pengurusan universiti agar mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kumpulan itu mahu pilihan raya telus dan seimbang diadakan untuk memilih kepimpinan yang berwibawa, berintegriti serta akauntabiliti bagi membela nasib mahasiswa.

Sebahagian besar universiti awam tempatan akan mengadakan pemilihan MPP secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini bagi semestar pengajian 2009/2010 — pendekatan yang digunakan sejak sesi pengajian lalu.

Empat belas universiti yang diwakili kumpulan Pro-Mahasiswa itu setakat ini ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Malaysia, Universiti Industri Selangor, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Utara Malaysia.

Bagaimanapun pilihan raya kampus Universiti Utara Malaysia sudah pun berlangsung semester lalu dan dikuasai oleh kumpulan Pro-Aspirasi Mahasiswa.

Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaysia Terengganu sudah membubarkan MPP. Proses pencalonan bagi MPP Universiti Malaysia Terengganu telah berlangsung minggu lalu.

Pada sesi pengajian lalu kumpulan Pro-Mahasiswa hanya menguasai dua universiti, bakinya oleh Pro-Aspirasi.

MiSi-10 merupakan gabungan barisan yang diketuai oleh Pro-Mahasiswa berganding bahu bersama badan mahasiswa yang lain iaitu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Pergerakan Pemuda dan Pelajar Demokratik (Dema), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).

Kumpulan itu juga menuntut agar pengurusan universiti membenarkan kehadiran ejen pemantauan dari luar sepanjang pemilihan kampus diadakan.

Ketika dihubungi wakil sekretariat SMM Hilman Idham berkata, pilihan raya kampus yang semakin hampir adalah perkara yang sangat signifikan untuk mahasiswa melibatkan diri dalam memastikan pengaruh mahasiswa masih lagi bertaring pada pandangan massa.

“MiSi-10 merupakan isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus dijalankan dalam ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti,” katanya.

Isu-isu yang akan diketengahkan oleh pihaknya ialah kes lapan mahasiswa UM disabitkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ekoran tindakan mereka menjemput ahli politik untuk merasmikan program mahasiswa, pelaksanaan sistem e-undi, kes conteng “Rosmah puaka” di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam UM dan tuduhan berkaitan ke atas lima mahasiswa dan penafian hak calon peringkat umum di Universiti Malaysia Terengganu, mahasiswa UKM difitnah pro-Israel.

“MiSi-10 melihat bahawa isu-isu ini telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, MiSi-10 juga mengemukakan empat tuntutan iaitu mnyediakan ruang demokrasi yang bebas dan adil di semua kampus, mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa berhimpun, bersuara dan berpersatuan dan kebebasan akademik, pelaksanaan sistem e-undi dimansuhkan serta menjaga keselamatan calon dan mahasiswa dalam proses pilihan raya.

Hilman memberitahu pihaknya akan menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi Jumaat ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Tujuanku Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger